Oleh: Amirul Fikri

“Apa faedahnya jika terus memendam perasaan hasad dengki(PhD) atau envy di hati? Tidak pernah senang melihat kesenangan orang lain, sering memandang serong, tidak senang hati apabila ada orang yang melebihinya. Cakap melayu dengan cara paling pendek, iri hati.

Setiap pendengki memang memandang serong terhadap orang yang tidak disukainya. Ada yang sanggup berbuat apa saja, termasuk menggunakan sejumlah besar wang ringgit untuk menjatuh atau merosakkan orang lain, sama ada secara halus atau kasar. Perasaan dengki sebegini sebenarnya menunjukkan pendengki itu lemah, penakut, peribadinya rendah dan tidak mempunyai harga diri dan tidak berakhlak.

Fikiran seorang pendengki adalah beku, tidak mempunyai daya usaha mendapat faedah halal, tidak ada hemah dan keazaman yang kuat dan dadanya sempit. Tidak punya usaha sendiri untuk memajukan diri dan hatinya tidak senang melihat kesenangan orang lain. Rasa geram timbul apabila orang lain melebihinya. Apa yang difikirkan hanyalah strategi dan cara bagaimana untuk menjatuhkan atau merosakkan orang tersebut.

Perasaan hasad dengki yang terus menggari hati mampu membawa pendengki kepada syirik kepada Allah s.w.t iaitu mempersekutukan Allah kerana apabila cara kasar tidak berhasil untuk menjatuhkan seseorang, cara halus samada menggunakan bomoh atau jin akan digunakan.

Sifat tercela ini bukan saja berlaku sesama kawan sekerja, malah di kalangan kaum kerabat, keluarga terdekat dan jiran tetangga. Penyakit hati ini boleh menimbulkan perbalahan sesama sendiri dan seterusnya menjadi pergaduhan besar hingga saling berbunuhan. Orang yang bersifat demikian memang berbudi rendah dan hina. Rendah dalam banyak aspek seperti pemikiran, pemilihan, ucapan dan tindakan.

Dalam sifat begini, pendengki sanggup pula menabur fitnah, berbohong dan menceritakan apa yang tidak benar kepada sesiapa saja yang difikirkan boleh bersekongkol dengannya. Kesukaan merendah dan menghina orang lain disebabkan menyangka dirinya lebih mulia daripada orang lain. Dialah yang pandai, pintar dan segalanya sehingga pandangan orang lain diremehkan.

Perbuatan mencela orang biasanya dilakukan dengan ucapan dan sikap, samada di hadapan atau belakang orang berkenaan. Sebenarnya, orang yang suka mencela orang lain itu adalah lambang kekosongan jiwanya. Dia sedang sakit jiwa kerana hatinya yang busuk. Orang seperti ini biasanya melihat orang atau setiap persoalan daripada sudut kekurangan dan kelemahan sahaja, langsung tidak melihat pada sudut kebaikannya. Pendengki juga cepat melihat keaiban dan membuka aib orang, tetapi tidak dapat melihat keaiban dan kecacatannya sendiri.

Oleh kerana kerosakan yang timbul itu boleh menjadi bencana umum, maka seksaannya menurut hadis, dimulakan di alam kubur selepas dia meninggal dunia. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu dengki-mendengki, jangan kamu benci-membenci dan jangan kamu musuh-memusuhi.” Sebuah lagi hadis bermaksud: “Awaslah (jauhilah) daripada hasad (dengki) kerana hasad itu akan memakan semua kebaikan, sebagaimana api memakan kayu yang kering.”

Pada suatu sudut yang lain, perasaan dengki dan iri hati dibenarkan dalam Islam iaitu, berdengki terhadap orang diberi ilmu pengetahuan oleh Allah dan dia mengamalkannya siang dan malam serta orang yang diberi harta oleh Allah dan dia menafkahkannya siang dan malam sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud : ‘Tidak boleh iri hati melainkan kepada dua orang iaitu, orang yang dianugerahkan ilmu pengetahuan tentang al Quran oleh Allah lalu mengamalkan sepanjang siang dan malam dan orang yang diberikan harta oleh Allah lalu menafkahkannya sepanjang siang dan malam’
Selain itu, perasaan dengki dan iri hati melihat kesenangan org lain perlu diganti dengan usaha sendiri. Kalau orang lain berjaya, jgn kita jatuhkan dia atau melakukan sesuatu yang merosakkan dia dan hati sendiri (penyakit hati), sebaliknya kita kene usaha untuk berjaya seperti dia atau jadi lebih berjaya dari orang yang kita dengki. Jika kita sebagai seorang pelajar, jika kita nampak kawan kita sedang mengulangkaji pelajaran, jangan kita perli dia atau mengurangkan semangat dia untuk belajar dengan berkata ‘rilek la. Test lambat lagi’. Sebaliknya kita perlu beri semangat atau turut sama mengikutnya.
Oleh hal yang demikian, saya menyeru kepada pendengki (except pendengki ilmu dan pendengki yang negative yang merosakkan diri dan orang lain) walau dimana anda berada. Berhentilah daripada berdengki, bersama-sama kita berjaya demi agama, bangsa dan Negara.

Advertisements