Taubat

Oleh: Daniel Irfan

doaku

Setiap orang, baikpun yang tua atau muda, miskin atau kaya, berpangkat atau pun tidak, pasti pernah melakukan dosa. Dosa boleh ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar hukum dan bercanggah dengan syarak iaitu meninggal kan suruhan Allah. Dosa boleh dibahagikan kepada dua; dosa kecil atau pun dosa besar.

Dosa- dosa kecil boleh dikategorikan sebagai dosa di bawah tahap dosa besar. Sebagai contohnya ialah membuang sampah merata, melihat kepada perkara dilarang seperti yang bukan mahram, berbincang perkara dunia semata-mata di dalam masjid dan lain – lain lagi. Dosa kecil jika selalu dilakukan berterusan boleh berkumpul menjadi dosa besar.

Rasullullah pernah bersabda;

“Awasilah kamu sekalian daripada dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar.” Riwayat Imam ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi

Dosa besar pula ialah sebagai mana ditakrifkan oleh Ibnu Abbas ra sebagai dosa-dosa yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di akhirat atau diancam dengan laknat Allah dengan kemurkaannya. Antara contoh dosa-dosa besar ialah seperti Syirik kepada Allah, sihir, memakan riba, memakan harta anak yatim dan lain-lain lagi.

Allah SWT telah berfirman,

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya,” (At-Tahrim ayat 8 )

“Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambanya serta memaafkan segala kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (As-Syura ayat 25)

Menurut Ayat tersebut, kita seharusnya bertaubat dengan bersungguh-sungguh kerana akan dihapuskan segala kesalahan yang telah lalu serta mencegah dari melakukan kesalahan-kesalahan yang baru. Allah SWT juga berjanji akan menrima taubat hambaNya.

Untuk melakukan taubat, terdapat 3 syarat yang harus dipatuhi. Iaitu tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi, menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan dan harus mempunyai tekad di dalam hati untuk tidak melakukan dosa itu kembali buat selama-lamanya. 3 syarat tersebut wajib dipatuhi jika dosa yang dilakukan itu antara manusia dengan Allah. Jika salah satu diantara syarat tersebut tidak dipenuhi, maka taubat seseorang itu tidak sah. Jika dosa yang dilakukan itu adalah sesame manusia,  maka 4 syarat  taubat wajib dipenuhi iaitu 3 syarat di atas dan syarat keempat pula ialah harus dapat membebaskan diri daripada hak orang yang punya.

Oleh itu amatlah penting bagi kita untuk bertaubat untuk menghapuskan dosa. Hal ini penting kerana untuk mendapatkan keberkatan dan kesejahteraan hidup. Di dalam Al Quran, terdapat banyak penjelasan mengenai perlakuan dosa dan perkara yang dilarang oleh Allah SWT akan mendapat balasan yang amat berat dari Allah mahupun di dunia atau pun di akhirat nanti. Sebaliknya pula, mereka yang mengerjakan segala perintah Allah dan membuat kebaikan serta mencegah kemungkaran sudah pasti akan mendapat ganjaran pahala dan syurga di akhirat kelak.

Advertisements